Wednesday, June 30, 2010

MENGATASI PENGGUNAAN POLISTERIN


Pinggan Ubi Kayu : Produk Berasaskan Kajian



Pembangunan mapan adalah isu global. Yang datang bersamanya krisis dan konflik yang menjadi perdebatan di setiap negara – negara membangun dan maju seluruh dunia. Secara umum, pembangunan mapan bermaksud pembangunan sesebuah negara yang tidak menidakkan hak generasi masa depan menikmati apa yang generasi sekarang miliki; contohnya alam sekitar. Pembangunan mapan adalah pembangunan yang mengambil kira kepentingan dan kesan terhadap alam sekitar.

Bertitik tolak daripada falsafah ini, sebuah syarikat tempatan iaitu Natures Harmony Industries Sdn Bhd (NHI) telah menghasilkan produk mesra alam hasil kajian selama lebih kurang tiga tahun.

Ya, review produk pada kali ini adalah berkenaan pinggan yang diperbuat daripada ubi kayu! ;)

Umum mengetahui bahawasanya polistirena (polystyrene) adalah sejenis polimer aromatik yang digunakan secara meluas dalam bidang pembungkusan, terutamanya makanan. Isu yang timbul adalah bahan ini sukar dilupuskan dan mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar. Tambahan, hasil – hasil kajian saintis yang dijalankan menunjukkan bahawasanya bahan ini turut memberi kesan sampingan kepada kesihatan manusia.

Pinggan keluaran NHI direkodkan mula diperkenalkan kepada masyarakat umum sejak Oktober 2008. Kelebihan produk ini adalah ia menjawab kepada permasalahan yang ditanggung alam sekitar. Produk ini boleh lupus hanya dalam tempoh 28 hari! – Dan alternatif lain adalah dengan memakan produk ini selepas digunakan. Maka begitu, istilah pakai-buang tidak lagi relevan untuk produk ini ;)

Untuk makluman, NHI adalah syarikat tempatan yang mula dikorporatkan sejak 2004. Syarikat ini memberi fokus kepada bidang pembungkusan dengan menjadikan bioteknologi sebagai medium penghasilan produk.

Produk ini turut disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan mendapat pengiktirafan oleh SIRIM. Berikut adalah prosedur menghasilkan produk ini :

KAWAL PENGGUNAAN POLISTERIN

KUALA LUMPUR – Penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polistirena di Malaysia adalah di tahap membimbangkan dan perlu dikawal dengan lebih tegas menerusi peraturan yang ketat, kata persatuan pengguna dan pencinta alam.

Walaupun pelbagai langkah diambil untuk membendung masalah ini oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun penggunaannya masih meluas.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), S. Peiarapakaran berkata, penggunaan polistirena hanya dapat dikawal sekiranya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat.

Pada masa ini, peraturan mengenai pengawalan penggunaan pembungkus dan bekas makanan daripada bahan PVC terkandung dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Namun, kata Peiarapakaran, peraturan itu tidak menghalang penggunaan polistirena secara meluas oleh peniaga dan juga orang ramai.

"Terpulang kepada kerajaan, jika kerajaan tidak mahu persekitaran kita dicemari oleh plastik dan polistirena, seharusnya kerajaan memperkenalkan akta yang melarang ataupun mengawal penggunaan bekas makanan polistirena ataupun plastik,” katanya.

Mengikut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia, sebanyak 1.8 juta tan metrik plastik pelbagai jenis telah digunakan di negara ini pada tahun 2008, manakala untuk polistirena pula, terdapat 108,000 tan metrik digunakan pada 2007 dan menurun kepada 106 ribu tan pada tahun 2008.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, jika kerajaan tegas untuk mengehadkan pengeluaran polistirena dengan menggantikannya dengan bahan alternatif, ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai.

Beliau juga menyeru kerajaan agar memperuntukkan dana kepada NGO untuk mengadakan kempen kesedaran di kawasan-kawasan yang biasa dikunjungi masyarakat awam dan di sekolah.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Noor pula berkata, selain kerajaan dan NGO, pengguna juga harus memainkan peranan dalam mengawal penggunaan polistirena.

Katanya, pengguna harus menyedari tanggungjawab mereka dan berusaha untuk mengurangkan penggunaan polistirena terutama sekali sebagai bekas makanan.

"Kaedah yang paling mudah untuk mengawal penggunaan polistirena ialah dengan menggantikannya dengan bekas makanan tupperware ketika membeli makanan di luar. Walaupun sudah lama kita cadangkan cara ini, namun masih ramai yang tidak mengaplikasikannya dalam rutin harian mereka,” kata Salleh. – Bernama

SELAMATKAN DIRI DARI API NERAKA.


TANDA peralihan usia daripada alam kanak-kanak ke alam remaja bermula apabila mulai jelas tanda kematangan biologi seperti haid bagi perempuan, mimpi serta keluar air mani bagi lelaki.

Disebabkan mimpi, badan cepat membesar, rambut atau bulu mula tumbuh di bahagian tertentu badan dan yang paling ketara perubahan adalah soal nafsu seks.


Ketika ini Islam amat mendidik untuk menguasai diri. Apabila diri terkawal maka semuanya pasti teratur. Apabila tewas maka berlakulah penyimpangan. Penyimpangan masalah seksual terutama di kalangan remaja kini semakin membimbangkan dan masing-masing memandang remeh masalah dosa akibat berzina.


Zina adalah perbuatan yang amat keji dan mesti dihindari setiap Muslim. Seks adalah satu anugerah Allah yang diberikan kepada manusia sebagai nikmat dan perhiasan kehidupan seperti juga binatang dan tumbuhan. Memang patut jika manusia mempunyai ghairah seks atau keinginan untuk melampiaskan keinginan seksual itu.


Allah tidak melarang manusia melampiaskan nafsunya selama cara yang dihalalkan, pada saat yang tidak terlarang dengan ikatan perkahwinan yang sah. Malah, nabi seakan tidak mengaku umat kepada mereka yang mempunyai kemampuan untuk berkahwin tetapi meninggalkannya.


Dalam sebuah hadis Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Barang siapa benci dan enggan menurut sunnahku (antaranya berkahwin), maka dia bukan dari kalanganku.” Ikatan perkahwinan adalah jalan yang halal dan diiktiraf syarak bagi melepaskan kemahuan seksual. Ini bererti orang yang belum berkahwin jangan cuba-cuba melepaskan seksnya.


Islam adalah agama yang amat hebat menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual. Jika menghampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri maknanya apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya adalah haram.


Apabila ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, apa lagi terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar remaja lahirkan anak luar nikah. Bayi yang tidak berdosa ditemui mati dalam timbunan sampah, perut terburai dimakan pula sekumpulan anjing liar. Sudahlah berzina amat jijik kemudian tergamak melakukan kezaliman terhadap bayi yang tidak berdosa.


Justeru, pergaulan bebas, duduk berdua-duaan serta berpimpin tangan adalah mukadimah (pendahuluan) yang kuat mendorong untuk berlakunya penyimpangan seksual. Zaman remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang ‘VVIP’ akhirat ialah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.


Maksud hadis, lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata “sesungguhnya aku takut kepada Allah.”


Remaja di barat sangat bebas serta tidak terkawal aktiviti seks mereka. Sebab itu mereka hanya belajar bagaimana untuk mencegah supaya jangan berlaku kehamilan. Seks adalah hak peribadi yang tidak terlarang bagi mereka. Bagi mereka, hamil di kalangan remaja berlaku kerana remaja hanya tahu seks selamat bukannya hendak fikir mengenai salahnya berzina itu.


Pendidikan seks dalam Islam mendidik remaja bukan saja supaya tidak berzina, malah menjauhi sebab dan segala pendorong berlakunya perzinaan. Sebab itu amat penting sekali untuk mendidik remaja mengenai syurga dan neraka supaya umat Islam gerun dengan ancaman neraka. Akhirnya mereka menolak nikmat sementara supaya terselamat daripada api neraka yang membakar selamanya.

Friday, June 18, 2010

PAGAR DIRI DARI MAKSIAT

Hadith :

Dari Jabir r.a, katanya dia mendengar Nabi s.a.w bersabda:”Apabila ada di antara kamu yang tergoda hatinya kepada seorang wanita maka hendaklah dia pulang kepada isterinya untuk melepaskan rasa rindunya. Sesungguhnya yang demikian itu dapat mententeramkan gejolak hatinya.” (Muslim)

Huraian:

Rumah tangga orang beriman adalah benteng mempertahankan maruah dan harga diri. Rumah yang didiami bukan sekadar tempat berlindung dari panas dan hujan bahkan ia merupakan tempat untuk beristirehat, membina kasih sayang antara ahli keluarga, anak dan isteri dan mencari keredhaan Allah S.W.T.

Sesungguhnya, alasan yang paling kukuh mengapa manusia itu perlu berkahwin adalah disebabkan tuntutan psikologi. Dengan perkataan lain ia adalah fitrah yang dijadikan oleh Allah S.W.T.

Maka atas tuntutan tersebut, tanpa adanya perkahwinan kadangkala manusia akan terjerumus ke lembah perzinaan dan maksiat. Sebab itulah Islam memuliakan sebuah perkahwinan dan amat menggalakkan umatnya supaya berkahwin sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: "Wahai anak muda, berkahwinlah. Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)." (Bukhari)

Tuesday, June 15, 2010

KELEBIHAN BULAN REJAB

KELEBIHAN BULAN REJAB

Sabda Nabi s.a.w.: Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat.

Sabda Nabi s.a.w.:
Bulan Rejab Bulan Allah, Bulan Sya'aban bulanku & bulan Ramadhan bulan umatku.

Kemuliaan Rejab dengan malam ISRAK MIKRAJnya, Sya'aban dengan malam NISFUnya Ramadhan dengan LAILATUL-QADARnya.

Malam awal Rejab mustajab do'anya.(Dalam Kitab Raudhoh Iman Nawawi)

* Puasa sehari pada bulan Rejab mendapat syurga tertinggi (Firdaus).

* Puasa dua hari dilipatgandakan pahalanya.

* Puasa tiga hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang, yang menghalangkan dia keneraka (panjangnya setahun perjalanan).

* Puasa empat hari pada bulan Rejab diafiatkan daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar dan daripada fitnah Dajal di hari kiamat.

* Puasa lima hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur.

* Puasa enam hari pada bulan Rejab, keluar kubur bercahaya muka.

* Puasa tujuh hari pada bulan Rejab, ditutup daripada tujuh pintu neraka.

* Puasa lapan hari pada bulan Rejab, dibuka baginya lapan pintu syurga.

* Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu, MENGUCAP DUA KALIMAH SHAHADAH tidak ditolak dia masuk syurga.

* Puasa 10 hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di Titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu di hari kiamat.

* Puasa 16 belas hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga dan orang yang pertama menziarahi Allah di dalam syurga.

* Puasa 19 belas hari pada bulan Rejab, dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim a.s dan Nabi Allah Adam a.s.

* Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggi daripada umurnya (pembaharuan umur).

Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan seperti kelebihan Qur'an atas segala Qalam.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti puasa empat puluh tahun dan diberi minum air dari Syurga.

Puasa 10 hari pada bulan Rejab dijadikan dua sayap, terbang seperti kilat di atas Titi Sirotalmustaqim di hari kiamat.

Puasa sehari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya.

Puasa pada awal Rejab, pertengahannya dan akhirnya seperti puasa sebulan pahalanya.

Bulan Rejab Syahrullah (Bulan Allah), diampunkan dosa orang-orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah. Puasa Bulan Rejab wajib baginya:

* Diampunkan dosanya yang lalu.
* Dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal.
* Terlepas dari dahaga di hari kiamat.

Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebiji roti. Sasiapa bersedekah pada
bulan Rejab seperti sedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya tiap sehelai bulu ruma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjat, dihapus seribu
kejahatan.

Tiap sehari puasanya pada bulan Rejab dan sedekahnya pada bulan Rejab seperti ibadat seribu Haji dan Umrah. Dibina mahligai seribu bilik dan seribu bidadari, lebih cantik daripada atahari seribu kali.

Bulan Rejab bulan Allah. Bersedekah pada bulan Rejab dijauhkan Allah daripada api neraka kerana kemuliaan bulan Rejab, Bulan Allah. Allah jadikan di belakang bukit Jabal Qar bumi, yang putih yang penuh dengan
Malaikat dengan panji-panji berhimpun pada tiap malam Rejab meminta ampun oleh mereka kepada Umat Muhammad.

Allah menjawap: Telah aku ampunkan mereka! Barangsiapa meminta ampun (bersitighfar) kepada Allah pagi dan petang 70 kali atau 100 kali, pada bulan
Rejab di haramkan tubuhnya daripada api neraka.

Sesiapa berpuasa sebulan pada bulan Rejab, Allah berseru kepadanya:
"Telah wajib hakmu atasKu, maka mintalah olehmu kepadaKu. Demi ketinggian Ku dankebesaranKu, tidak Aku tolakkan hajatmu. Engkau adalah jiranKu dibawah `arasyKu, engkau kekasihKu daripada segala makhlukKu,
engkau terlebih mulia atasKu. Sukakanlah kamu, tiada dinding antaraKu dan antarakau".(dari kitabRaudatul Ifkar)

Puasa pada 27 bulan Rejab seperti berpuasa enam puluh bulan pahalanya. Jika disertai dengan sedekah seperti puasa seribu tahun, kerana kebesaran hari ISRAK-MIKRAJ.

Siapa melapangkan kekeruhan, kesusahan, kesempitan orang mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya Mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus.

Siapa berpuasa tiga hari pada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya(berjaga), seperti dia berpuasa tiga ribu tahun.

Diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya, 70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Qur'an dinaik ketika berlalu di Titi Sirotalmustaqim.

Rejab ertinya ta'zim (kebesaran, keagungan, kemuliaan). (Rahmat, pemurah, kebajikan). Kerana kebesaran, keagungan dan kemuliaan bulan Rejab itu
maka Allah limpahkan rahmatNya, kemurahanNya dan terhadap hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solih pada bulan Rejab, dengan berpuasa pada siangnya dan beribadat pada malamnya.

Demikianlah peri keistimewaannya keagungan bulan Rejab itu yang dinamakan dengan BULAN ALLAH.

REJAB bulan menabur benih.
SYA'ABAN bulan menyiram tanaman.
RAMADHAN bulan menuai.

REJAB menyucikan badannya.
SYA'ABAN menyucikan hatinya.
RAMADHAN menyucikan rohnya.

REJAB bulan taubat.
SYA'ABAN bulan muhibbah.
RAMADHAN dilimpahi pahala amalan.