Wednesday, April 14, 2010

ADAB ATAU AKHLAK SEORANG MUSLIM



Tafsir Surah An-Nisa' ayat 86


Ulama-ulama tafsir berselisih pendapat berhubung dengan maksud syafaat. Mujahid, al-Hasan, Ibnu Zaid dan lain-lain berkata yang dimaksudkan dengan syafaat itu ialah menolong dalam menunaikan hajat-hajat mereka.

Setengah ulama berkata yang dimaksudkan syafaat yang baik itu ialah melakukan kebajikan dan taat, manakala syafaat yang jahat itu ialah mengerjakan maksiat.

Sesiapa menolong dalam perkara kebaikan, pahala diberi kepadanya sebaliknya sesiapa yang mengerjakan kejahatan dia akan menerima akibat buruk (dosa) dari perbuatannya.

Setengah ulama' berpendapat syafaat juga dimaksudkan dengan doa yang baik kepada saudara-saudara seIslam terutamanya doa yang dilakukan secara sembunyi tanpa siapapun mengetahuinya melainkan Allah. Doa yang disebut di dalam hadith Nabi S.A.W. yang bermaksud :

"Sesiapa yang berdoa ditempat yang sunyi nescaya diperkenankan baginya dan malaikat mengaminkannya dan dia mendapat pahala sepertinya."

Begitu juga sesiapa yang berdoa supaya ditimpa kesusahan ke atas saudaranya yang baik sebagaimana perangai orang-orang Yahudi yang mendoakan kejahatan ke atas orang-orang yang beriman maka dia akan menerima dosa daripada perbuatannya walaupun dengan doa sahaja.

Termasuklah mereka yang berdoa untuk menentang Islam. Sesiapa yang berdoa supaya ditimpa kecelakaan terhadap orang-orang yang menegakkan Islam (sebagaimana yang berlaku di kalangan ahli kitab Yahudi dan ulama-ulama jahat), dia akan menerima padah dari perbuatan jahatnya itu. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa': 85)

Seterusnya Allah mengajar orang-orang yang beriman dengan suatu adab yang baik iaitulah adab pergaulan sesama mereka dengan firman-Nya yang bermaksud :

"Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa': 86)

Pendapat yang lebih kuat - yang dimaksudkan dengan hormat di sini ialah memberi salam walaupun ada ulama yang menjelaskan bahawa termasuk dalam ayat ini Tasymitul 'Atisy (berzikir ketika seseorang bersin) dan membalas orang yang 'Musyamit'.

Ertinya apabila seseorang itu bersin, dia berkata 'al-hamdulillah' dan yang berada di sisinya menjawab 'Yarhamukallah'. Ini adalah diantara perkara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. tetapi yang lebih kuat dimaksudkan ayat ini ialah memberi salam.

Menjadi ijma' di kalangan para ulama bahawa memulakan salam itu disunatkan dan sangat digalakkan manakala menjawab salam diwajibkan. Firman Allah yang bermaksud:

"Dan apabila kamu diberi hormat dengan suatu penghormatan (salam) maka kamu hendaklah menghormatinya (menjawab salam itu)." (Surah an-Nisa': 86)

Ulama' berkhilaf dalam masalah sama ada menjawab salam itu wajib kifayah atau fadhu ain. Di sisi Imam Malik dan Imam Syafie, menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah (wajib secara umum). Sekiranya ada orang yang menjawab salam di kalangan kumpulan yang ramai maka lepaslah tanggungjawab yang lain (yang tidak menjawab salam di kalangan mereka).

No comments: