Wednesday, June 30, 2010

KAWAL PENGGUNAAN POLISTERIN

KUALA LUMPUR – Penggunaan bekas makanan diperbuat daripada polistirena di Malaysia adalah di tahap membimbangkan dan perlu dikawal dengan lebih tegas menerusi peraturan yang ketat, kata persatuan pengguna dan pencinta alam.

Walaupun pelbagai langkah diambil untuk membendung masalah ini oleh kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), namun penggunaannya masih meluas.

Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), S. Peiarapakaran berkata, penggunaan polistirena hanya dapat dikawal sekiranya kerajaan menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat.

Pada masa ini, peraturan mengenai pengawalan penggunaan pembungkus dan bekas makanan daripada bahan PVC terkandung dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985.

Namun, kata Peiarapakaran, peraturan itu tidak menghalang penggunaan polistirena secara meluas oleh peniaga dan juga orang ramai.

"Terpulang kepada kerajaan, jika kerajaan tidak mahu persekitaran kita dicemari oleh plastik dan polistirena, seharusnya kerajaan memperkenalkan akta yang melarang ataupun mengawal penggunaan bekas makanan polistirena ataupun plastik,” katanya.

Mengikut Persatuan Pekilang Plastik Malaysia, sebanyak 1.8 juta tan metrik plastik pelbagai jenis telah digunakan di negara ini pada tahun 2008, manakala untuk polistirena pula, terdapat 108,000 tan metrik digunakan pada 2007 dan menurun kepada 106 ribu tan pada tahun 2008.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman berkata, jika kerajaan tegas untuk mengehadkan pengeluaran polistirena dengan menggantikannya dengan bahan alternatif, ini akan memberi kesedaran kepada orang ramai.

Beliau juga menyeru kerajaan agar memperuntukkan dana kepada NGO untuk mengadakan kempen kesedaran di kawasan-kawasan yang biasa dikunjungi masyarakat awam dan di sekolah.

Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Tan Sri Dr Salleh Mohd Noor pula berkata, selain kerajaan dan NGO, pengguna juga harus memainkan peranan dalam mengawal penggunaan polistirena.

Katanya, pengguna harus menyedari tanggungjawab mereka dan berusaha untuk mengurangkan penggunaan polistirena terutama sekali sebagai bekas makanan.

"Kaedah yang paling mudah untuk mengawal penggunaan polistirena ialah dengan menggantikannya dengan bekas makanan tupperware ketika membeli makanan di luar. Walaupun sudah lama kita cadangkan cara ini, namun masih ramai yang tidak mengaplikasikannya dalam rutin harian mereka,” kata Salleh. – Bernama

No comments: